SELAMAT DATANG

Tuesday 22 November 2011

Pengenalan

Terima kasih kerana sudi membaca dan melayari laman blog ini terutamanya kepada Cik Amily Shafila Binti Shariff iaitu pensyarah Teknologi Maklumat Sekolah Rendah (krt3013) UPSI.

Bersyukur saya ke hadrat Illahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya saya dapat menyiapkan tugasan blog ini seperti yang telah ditetapkan. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih sekali lagi kerana telah diberi tunjuk ajar dan maklumat penting dalam membina blog ini melalui forum PJJ UPSI. Saya berbangga menjadi salah seorang pelajar beliau, kerana atas kerjasama dan kesungguhan beliau telah memberi impak yang sangat besar kepada saya iaitu saya berusaha lebih gigih untuk belajar membuat blog ini. Bersyukurnya saya...Alhamdulillah.

Saya pernah berkhidmat sebagai seorang guru PPKI selama 13 tahun, dan kini saya berkhidmat di Jabatan Pelajaran Negeri sebagai Penyelia di Unit Pendidikan Khas. Saya juga merupakan seorang penternak lembu dan kambing dan mengusahakan sendiri kebun pisang dan kelapa sawit. Berdasarkan minat saya, saya memilih untuk membuat blog bertajuk perkebunan. Adalah amat sukar untuk membuat pilihan di antara penternakan dan perkebunan, akhirnya saya membuat pilihan berasaskan keperluan dan kemampuan murid-murid berkeperluan khas yang bermasalah pembelajaran. Bidang perkebunan kurang berisiko jika dibanding dengan bidang penternakan, jadi adalah lebih baik bagi mereka yang mahu berkecimpung dalam alam perniagaan kelak mengetahui asas bidang perkebunan iniHarapan saya agar murid-murid mahupun sesiapa sahaja yang berminat untuk berkebun dapat menambahkan ilmu dan pengetahuan tentang pertanian terutamanya bidang perkebunan.

Pengalaman menjadi seorang guru di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi, membuatkan saya berfikir mengenai kepentingan subjek ini dan ia sangat perlu diterapkan kepada murid berkeperluan khas. Komponen Kemahiran Hidup merupakan salah satu daripada bidang pengurusan kehidupan yang mana ia termaktub di dalam huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Komponen ini memberi fokus kepada latihan-latihan dan kemahiran untuk membolehkan murid bermasalah pembelajaran berdikari. Melalui proses pembelajaran murid dapat menjalankan aktiviti-aktiviti seharian dengan lebih yakin.

Objektif pembelajaran subjek ini adalah :-
1. Memperolehi pengetahuan dan kemahiran asas dan aspek masakan, jahitan, pertukangan, perkebunan, pemeliharaan haiwan dan mendobi.
2. Menguasai kemahiran-kemahiran asas dalam komponen kemahiran hidup.
3. Mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi ke dalam kehidupan harian.


Kandungan pembelajaran topik perkebunan merangkumi alatan dan bahan untuk berkebun, fungsi alatan, keselamatan, kebersihan, cara menanam, cara penjagaan, dan menjual hasil.

Diharapkan perkongsian ilmu ini dapat membantu murid menambahkan pengetahuan dan minat dalam bidang ini. Selain daripada itu, cikgu berharap murid-murid bermasalah pembelajaran dapat mempelajari dan lebih berdikari untuk mencuba lakukan aktiviti-aktiviti perkebunan ini. 
Selamat belajar dan mencuba...

No comments:

Post a Comment