SELAMAT DATANG

Tuesday 22 November 2011

Pengenalan

Terima kasih kerana sudi membaca dan melayari laman blog ini terutamanya kepada Cik Amily Shafila Binti Shariff iaitu pensyarah Teknologi Maklumat Sekolah Rendah (krt3013) UPSI.

Bersyukur saya ke hadrat Illahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya saya dapat menyiapkan tugasan blog ini seperti yang telah ditetapkan. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih sekali lagi kerana telah diberi tunjuk ajar dan maklumat penting dalam membina blog ini melalui forum PJJ UPSI. Saya berbangga menjadi salah seorang pelajar beliau, kerana atas kerjasama dan kesungguhan beliau telah memberi impak yang sangat besar kepada saya iaitu saya berusaha lebih gigih untuk belajar membuat blog ini. Bersyukurnya saya...Alhamdulillah.

Saya pernah berkhidmat sebagai seorang guru PPKI selama 13 tahun, dan kini saya berkhidmat di Jabatan Pelajaran Negeri sebagai Penyelia di Unit Pendidikan Khas. Saya juga merupakan seorang penternak lembu dan kambing dan mengusahakan sendiri kebun pisang dan kelapa sawit. Berdasarkan minat saya, saya memilih untuk membuat blog bertajuk perkebunan. Adalah amat sukar untuk membuat pilihan di antara penternakan dan perkebunan, akhirnya saya membuat pilihan berasaskan keperluan dan kemampuan murid-murid berkeperluan khas yang bermasalah pembelajaran. Bidang perkebunan kurang berisiko jika dibanding dengan bidang penternakan, jadi adalah lebih baik bagi mereka yang mahu berkecimpung dalam alam perniagaan kelak mengetahui asas bidang perkebunan iniHarapan saya agar murid-murid mahupun sesiapa sahaja yang berminat untuk berkebun dapat menambahkan ilmu dan pengetahuan tentang pertanian terutamanya bidang perkebunan.

Pengalaman menjadi seorang guru di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi, membuatkan saya berfikir mengenai kepentingan subjek ini dan ia sangat perlu diterapkan kepada murid berkeperluan khas. Komponen Kemahiran Hidup merupakan salah satu daripada bidang pengurusan kehidupan yang mana ia termaktub di dalam huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Komponen ini memberi fokus kepada latihan-latihan dan kemahiran untuk membolehkan murid bermasalah pembelajaran berdikari. Melalui proses pembelajaran murid dapat menjalankan aktiviti-aktiviti seharian dengan lebih yakin.

Objektif pembelajaran subjek ini adalah :-
1. Memperolehi pengetahuan dan kemahiran asas dan aspek masakan, jahitan, pertukangan, perkebunan, pemeliharaan haiwan dan mendobi.
2. Menguasai kemahiran-kemahiran asas dalam komponen kemahiran hidup.
3. Mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi ke dalam kehidupan harian.


Kandungan pembelajaran topik perkebunan merangkumi alatan dan bahan untuk berkebun, fungsi alatan, keselamatan, kebersihan, cara menanam, cara penjagaan, dan menjual hasil.

Diharapkan perkongsian ilmu ini dapat membantu murid menambahkan pengetahuan dan minat dalam bidang ini. Selain daripada itu, cikgu berharap murid-murid bermasalah pembelajaran dapat mempelajari dan lebih berdikari untuk mencuba lakukan aktiviti-aktiviti perkebunan ini. 
Selamat belajar dan mencuba...

Alatan Perkebunan dan Fungsinya

ALATAN PERKEBUNAN
Terdapat banyak peralatan yang boleh digunakan untuk melakukan kerja-kerja perkebunan. Setiap alatan mempunyai fungsi yang tersendiri. Alatan perkebunan diperlukan untuk menjalankan kerja-kerja perkebunan seperti menyemai, menanam dan menjaga tanaman.

Kita boleh memperolehi peralatan perkebunan ini di mana-mana kedai hardware yang berdekatan. Harga alatan tersebut tidaklah mahal malah berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua orang. Kini, terdapat alatan yang unik dan berguna kepada kita ini kerana satu item boleh digunakan untuk pelbagai guna.Canggihkan?...

Antara contoh alatan perkebunan adalah seperti berikut:-


1. Penyiram - Sejenis bekas yang berfungsi untuk mengisi air dan menyiram tumbuh-tumbuhan. Penggunaan bekas ini amat mudah untuk dilakukan. Selain daripada penggunaan bekas ini, kita juga boleh menggunakan alat lain seperti getah paip yang berpili untuk penyiraman jarak jauh. Adalah lebih baik untuk perkebunan, bekas ini digunakan. Ini kerana air di dalam bekas ini boleh digabungkan dengan baja untuk meyuburkan tanaman.
2. Sekateur - Untuk mengemas cantasan layu atau mengemas cantasan tidak seluruh.


 
3. Sudip Tangan - Untuk menggali tanah, untuk mengorek lubang, untuk mengubah anak benih dari bekas semaian. Ia diperbuat daripada plastik, fiber dan ada juga daripada besi. 
Terdapat pelbagai saiz juga.


4. Pencakar Tangan - untuk mengempur tanah, untuk mengumpul sampah.Ia kini bukan sahaja diperbuat daripada besi, malah ia juga ada diperbuat daripada plastik. Terdapat pelbagai saiz mata pencakar iaitu ada yang panjang dan ada yang sederhana panjang.




5. Sekop - Untuk menggaulkan bahan medium. Biasanya sekop ini diperbuat daripada besi. Ia boleh dibelei di kedai-kedai hardware. Jarang di temui di pasaraya, ini adalah kerana fungsinya agak berbahaya dan tidak sesuai untuk kanak-kanak.

6. Cangkul - Untuk menggembur dan memecah tanah. Ia juga boleh dibeli di kedai-kedai hardware. Ia sangat tajam dan perlu berhati-hati ketika menggunakannya.




7. Gunting Pemangkas - Untuk memangkas daun yang berlebihan atau daun yang layu. Ia boleh diperolehi di mana-mana kedai hardware. Ada dalam pelbagai saiz dan warna. 


8. Kereta Sorong - Untuk mengangkat bahan medium, bahan organik dan kompos. Begitu juga dengan kereta sorong ini,boleh dibeli di kedai-kedai harware. Untuk penggunaan jangka masa panjang, kita perlu pastikan ia tidak terkena air. Jika tidak ia akan karat dan tidak tahan lama. Oleh yang demikian, sekiranya terkena air, kita perlu mengelapnya dengan kain kering.


9. Serampang Tangan - Untuk merumput dan menggemburkan tanah. Serampang tangan juga terdapat dalam pelbagai saiz dan warna. Ia diperbuat daripada besi dan fiber mahupun plastik.




10. Tong Racun - Ia diperbuat daripada fiber plastik dan besi. Kegunaannya adalah untuk menjadi bekas racun ketika hendak menyembur racun. Ia boleh di perolehi di kedai-kedai hardware. 

Bahan

BAHAN PERKEBUNAN
Bahan perkebunan yang lengkap memudahkan kita untuk menjalankan aktiviti perkebunan.

Antara bahan perkebunan adalah seperti :-


1. Kotak atau Bekas Semaian
Terdapat dalam pelbagai warna dan bentuk. Anda boleh membuat pilihan mengikut kehendak anda. Ia digunakan sementara waktu sahaja sebelum anak benih bercambah dan boleh di ubah ke dalam pasu mahupun batas.



2. Pasu atau Bekas Menanam
Pasu mudah diperolehi di pasaran kini. ia terdapat dalam pelbagai bentuk dan warna. Ada pasu yang diperbuat daripada plastik, tembikar, dan kaca. Bergantung kepada kehendak anda sama ada anda dan di mana kawasan yang hendak anda letakkan. Andainya ia perhiasan dalam rumah, maka pasu yang lebih unik boleh digunakan. Sekiranya hanya untuk di letakkan di luar kawasan rumah bolehlah memilih pasu biasa yang berpatutan harganya.




3. Serpihan Pasu/Batu
Serpihan pasu mahupun serpihan batu ini digunakan untuk mengelakkan tanah atau medium terkeluar dari pasu. 


4. Biji Benih
Biji benih boleh diperolehi di mana-mana hardware stall, kedai-kedai bunga dan pasaraya-pasaraya. terdapat pelabagi jenis biji benih, ada tanaman bunga, buah-buahan, sayur-sayuran dan pelbagai tanaman. Ia sangat berpatutan. Benih yang berkualiti dapat menghasilkan hasil tanaman yang baik.


5. Tanah Loam
Tanah loam merupakan bahan asas yang perlu ada untuk projek tanaman. Ia boleh dibeli di kedai-kedai bunga dan pasaraya-pasaraya. Sebenarnya kandungan di dalam tanah loam ini sudah cukup tanpa perlu d tambah dengan bahan lain seperti organik mahupun pasir sungai.



6. Pasir Sungai
Ia sangat perlu untuk memenuhi syarat keseimbangan nutrisi tanah untuk tanaman. Ia boleh diperolehi di mana-mana pasaraya dan kedai-kedai bunga.



7. Bahan Organik
Ia bertujuan untuk menyuburkan lagi tanah loam untuk mendapatkan hasil tanaman yang baik. Ia sangat perlu untuk menambah nutrisi tanah. Ia boleh di dapati di kedai-kedai bunga (nursery) dan ada juga terdapat di pasaraya-pasaraya.






8. Baja
Baja juga terdapat dalam pelbagai kegunaan, ada untuk tanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan. Anda perlu memilih baja yang bersesuaian dengan tanaman yang hendak anda bajai. Baja ini bertujuan untuk memberi kesuburan pada tanaman.

9. Racun
Terdapat banyak jenama racun di pasaran. Anda boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada tuan kedai mahupun pakar tanaman. Racun ini bertujuan untuk membunuh rumput-rumput yang hidup memakan nutrisi pokok tanaman.

Amalan Kebersihan di Kebun

Sangat perlu bagi kita menjaga kebersihan semasa menjalankan aktiviti perkebunan. Antaranya:-

1. Kebersihan Diri
* Berambut pendek dan kemas pada pelajar lelaki, bersikat rambut dan di ikat kemas atau bertudung bagi pelajar perempuan.
* Memakai apron dan sarung tangan serta berpakaian kemas dan bersih.
* Melipat lenggan baju dan memastikan kebersihan diutamakan.
* Memakai kasut but yang telah disediakan.

2. Kebersihan Alatan
* Pastikan alatan yang telah digunakan di bersihkan, dibasuh dan dilap agar tidak karat.
* Alatan disusun rapi dan dikemaskan.

3. Kebersihan di Kebun
* Cabut rumput-rumput di kawasan kebun.
* Memastikan kawasan di sapu dan dibersihkan
* Pastikan tiada peralatan atau bahan perkebunan yang berselerak

Amalan keselamatan di Kebun

Peraturan Dan Keselamatan
Keselamatan adalah faktor penting yang perlu diutamakan semasa menjalankan aktiviti perkebunan. Antara ciri-ciri keselamatan adalah seperti :-

1. Keselamatan Diri dan Rakan
* Jadikan sikap mematuhi peraturan sebagai suatu amalan.
* Pakailah pakaian yang sesuai dan kemas ketika bekerja di kawasan kebun.
* Pakai apron dan kasut but yang sesuai.
* Perlu memakai sarung tangan yang sesuai.
* Jangan bermain atau bergurau atau bermain di dalam kawasan kebun.
* Sentiasalah bekerjasama dan tolong menolong dengan rakan sekerja.
* Basuhlah tangan menggunakan air dan sabun selepas selesai membuat kerja.

2. Keselamatan Am
* Fahamkan semua peraturan keselamatan yang telah digariskan semasa berada di kawasan kebun
* Dapatkan kebenaran guru sebelum memasuki kawasan kebun.
* Pastikan kawasan kebun sentiasa bersih, kemas dan teratur.
* Berkebunlah dengan penuh minat.
* Selalulah bertanyakan guru jika ada sebarang masalah.
* Bersihkan tempat kerja (kebun) dan lantai sebelum meninggalkan bengkel.
* Kemas semua peralatan dan bahan di tempat yang disediakan.

3. Cara Menyimpan Alatan
* Alatan perlu dibersihkan selalu terutamanya selepas menggunakannya.
* Alatan perlu disimpan rapi, kemas dan teratur di tempat yang telah disediakan.
* Pastikan kawasan kebun selamat tanpa ada peralatan yang bersepah atau diletak merata.
* Keadaan stor perkebunan perlu dibersihkan dan dikemas serta di label nama peralatan tersebut.

Aktiviti-Aktiviti Perkebunan & Jenis dan Cara Menjaga Tanaman


Antara aktiviti perkebunan yang boleh dilakukan adalah:-

1. Memilih dan Menyemai Biji Benih Pokok Bunga Semusim





2. Menyediakan Bekas Penanaman



3. Memilih, Mengubah dan Menanam Anak Benih ke dalam bekas Penanaman


Jenis-Jenis Tanaman Sayuran
Terdapat pelbagai jenis tanaman antaranya ialah :
1. Tanaman Sayuran  Berdaun
2. Tanaman Sayuran Berbuah
3. Tanaman Sayuran Berakar
4. Tanaman Sayuran Berbunga
5. Tanaman Sayuran Kekacang

Cara Menjaga Tanaman Hiasan
Langkah-langkah menjaga tanaman hiasan ialah merumput, menggembur, menyiram, membaja, dan mencantas.

* Merumput adalah aktiviti membuang rumpai yang tumbuh di sekeliling tanaman hiasan. Rumpai dapat dicabut dengan tangan atau dengan menggunakan serampang tangan.

* Menggembur ialah aktiviti mengalih tanah. Kerja menggembur dapat dilakukan dengan menggunakan serampang tangan atau sudip tangan. Menggembur dapat memperbaiki pengudaraan dan pengairan tanah.

* Menyiram adalah aktiviti membekalkan air pada tanaman untuk melarutkan nutrien. Menyiram dilakukan dengan menggunakan penyiram. 

* Membaja ialah aktiviti membekalkan nutrien pada tanaman supaya tumbuhan lebih subur.

* Mencantas ialah aktiviti membuang bahagian tanaman yang tidak diperlukan, berpenyakit atau mati. Mencantas dilakukan dengan sekateur.





Latih Tubi - Soalan Popular

A. Isikan tempat-tempat kosong dengan jawapan yang betul.

1. Tanah yang sesuai untuk medium memasu ialah ____________ (liat,loam).

2. Medium memasu hendaklah disiram ________________ (sebelum,selepas) menyemai.

3. (gambar) Alatan perkebunan ini dipanggil ________________ (penyodok, sudip tangan).

4. Untuk menyediakan bahan medium memasu, bahan medium yang disukat mengikut nisbah yang tertinggi
    ialah ________________ (tanah loam, pasir sungai).




B. Padankan pernyataan-pernyataan di bawah.


1. Nisbah bahan medium memasu  ( ___ )                                  

2. Boleh digunakan sebagai tanah loam  ( ___ )
                                      
3. Benda asing yang perlu dikeluarkan daripada bahan medium ( ___ )

4. Sekop  ( ___ )


Pilihan Jawapan

a. batu, akar dan rumput

b. 7 bahagian tanah loam, 3 bahagian bahan organik dan 2 bahagian pasir sungai.

c. digunakan untuk menggaulkan bahan medium memasu

d. tanah gambut atau tanah kebun